Terengganu Tawar Pakej Pelancongan Islam Kepada Pelancong Singapura
Terengganu menawarkan pakej pelancongan Islam kepada 40 agen pelancongan dari Singapura menerusi program pengembaraan serta kerjasama perniagaan kepada perniagaan (B2B) bagi menjayakan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.
Penggiat pelancongan berkenaan berpeluang menikmati dan melihat sendiri produk seperti seni bina Masjid Hiliran,Tok Ku Tuan Besar, Sultan Zainal Abidin dan Institut al-Quran (IQT), monumen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu serta monumen Batu Bersurat dan Kompleks Desa Al-Taqwa di Hulu Terengganu.
Menerusi program anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bersama Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu dengan Tourism Malaysia Terengganu itu juga membawa mereka ke Muzium Negeri,Dapo Pata, Homestay Teluk Ketapang, industri Keropok Bukit Tok Beng (Kuala Nerus), Keropok Losong, Kompleks Kraf Noor Arfa, Istana Maziah, Pasar Payang, Kampung Cina dan Bukit Puteri (Kuala Terengganu) serta Santuari Kelah dan Perkampungan Gajah, Kenyir (Hulu Terengganu).
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tuan Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata, dalam lawatan lima hari ke negeri ini, semua penggiat pelancongan berkenaan juga akan menjalinkan kerjasama B2B dengan 21 agen pelancongan negeri bagi memperkenalkan dan mempromosikan produk pelancongan terutama kepada pelancong muslim dari Singapura.
“Mereka akan berinteraksi, bertukar-tukar pengalaman dan juga informasi secara terperinci mengenai pakej serta produk pelancongan yang masing-masing tawarkan.
“Pada masa yang sama, pengembaraan mereka ke negeri ini juga membolehkan mereka melihat dan menikmati sendiri tarikan serta keistimewaan daripada produk yang kita sediakan supaya pengalaman itu membolehkan mereka konsi dan tawarkan pula kepada rakyat di Singapura. Ada juga yang mahu menyertai pakej ibadat korban sambil melancong di Terengganu pada musim Haji nanti, “katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meraikan agensi pelancongan terbabit di majlis makan malam di Quinara Al-Safir Resort, Tok Jembal, Kuala Nerus, malam tadi.
Tun Faisal berkata, kunjungan mereka selaras dengan hasrat untuk memartabatkan pelancongan negeri serta memberi gambaran tepat mengenai Terengganu yang sememang terkenal dengan keunikan mahupun kepelbagaian produk pelancongan merangkumi warisan, sejarah, makanan tradisi, kebudayaan dan alam semula jadi.
Rosmawati |
“Alhamdulillah, mereka sangat gembira dan memberi respon positif. Kunjungan ke Santuari Kelah umpamanya memberi pengalaman baharu yang cukup mengujakan mereka, walaupun penat tetapi kunjungan ke situ amat berbaloi dan sukar ditemui di mana-mana pusat pelancongan lain,”katanya.
Sementara itu, seorang agen pelancongan Singapura, Rosmawati Abu Bakar, 47, berkata kunjungan kali kedua ke negeri ini memberi pengalaman berbeza dan sangat menyeronokkan, terutama lawatan ke Santuari Kelah, Tasik Kenyir.
"Hilang segala penat berjalan masuk ke santuari apabila dapat memegang ikan dan menikmati keunikan panorama di situ.Sungguh seronok dan luar biasa.
"Tidak sabar mengikuti semua lawatan dan pakej disediakan. Saya juga kagum kerana Terengganu kaya dengan budaya dan warisan Islam, terutama aspek seni bina masjid dan keunggulan institusi pengajian Islamnya,"katanya.