Terengganu Tegas Haram Vape Demi Generasi Baru Walau Berisiko Hilang Undi

SERDANG, 16 Mac – Kerajaan Terengganu menyedari bahawa keputusan mengharamkan penggunaan vape mungkin tidak popular dan berisiko menjejaskan sokongan politik, namun ia tetap dilaksanakan atas dasar tanggungjawab demi menjaga kesihatan serta masa depan generasi akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat untuk meraih populariti, sebaliknya berlandaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh.

"Kami faham mungkin ada yang tidak bersetuju dan ini bukan keputusan yang disenangi semua pihak. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami tidak boleh hanya memikirkan aspek politik semata-mata.

"Kami perlu melihat kepentingan jangka panjang, khususnya dalam melindungi generasi muda yang masih bersekolah daripada bahaya vape yang semakin menular," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Dewan D, MAEPS, Serdang, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan meskipun ada risiko kehilangan sokongan akibat keputusan tersebut, kerajaan negeri tetap teguh dalam pendirian demi maslahat lebih besar kepada rakyat.

"Kami tidak mahu generasi muda menjadi mangsa kepada budaya yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan mereka. Suka atau tidak, ini adalah amanah yang perlu kami laksanakan.

"Saya berharap anak muda, terutama mereka yang masih menggunakan vape, memahami bahawa keputusan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kesejahteraan mereka sendiri dalam jangka panjang," ujarnya.