DUNGUN, 11 Januari – Kerajaan Terengganu memberi perhatian serius terhadap permohonan berkaitan kemudahan dan kebajikan komuniti bukan Islam di daerah Dungun, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keharmonian serta kesejahteraan semua rakyat terus terpelihara.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi Hal Ehwal Bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan, berkata beberapa permohonan telah dikemukakan oleh Persatuan Buddha Dungun yang melibatkan cadangan penambahbaikan Bangunan Rumah Mayat dan Rumah Kebajikan di Kampung Bijangga, penyelenggaraan Tanah Perkuburan Cina Balik Bukit serta permohonan sewaan tanah bagi tujuan parkir kenderaan semasa urusan pengebumian.
"Bagi mendapatkan gambaran sebenar keperluan di lapangan, satu lawatan tapak dan sesi perbincangan telah diadakan bersama pihak berkaitan termasuk pimpinan komuniti setempat," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau, baru-baru ini.
Balachandran menyatakan, sesi libat urus tersebut penting bagi menilai secara langsung keadaan sebenar kemudahan sedia ada, selain mengenal pasti keperluan yang wajar diberi pertimbangan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Beliau memaklumkan semua permohonan yang dikemukakan akan dimajukan kepada Pejabat Tanah dan Majlis Perbandaran Dungun untuk pertimbangan lanjut, selaras dengan peraturan serta garis panduan yang ditetapkan.
"Pendekatan berasaskan dialog dan kerjasama antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat amat penting bagi memastikan kebajikan semua komuniti terus terpelihara secara inklusif dan harmoni," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kerjasama dan keprihatinan yang ditunjukkan, sambil menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Terengganu.