P Kamalanathan dan A. Latiff bersama sebahagian daripada pelajar yang menerima bantuan Program Susu 1 Malaysia di SK Jerong, Marang, hari ini. Foto oleh Zulkifli C.W. Putra. |
Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM3.2 juta bagi Program Susu 1 Malaysia melibatkan 49,843 pelajar di 353 sekolah rendah seluruh Terengganu.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dato' P Kamalanathan a/l P. Panchanatan berkata program bermula Julai lalu hingga Disember depan itu akan diperluaskan ke sekolah menengah namun kajian secara terperinci sedang dilakukan bagi melihat beberapa aspek penting dalam program itu.
Katanya, pihaknya ada menerima cadangan dan sedang memperlihatkan bagaimana penglibatan kos serta keperluannya. Sekiranya kos dapat dimasukkan sekali, kita akan beri pertimbangan sewajarnya.
"Kita kena lihat dari segi penghantaran, stok dan banyak benda lain. Jadi kita dalam proses melihat semua benda, segala keperluan sebelum dapat dilaksanakannya.
"Mungkin, kita akan menggunakan struktur yang sama. Namun ini terpulang kepada sumber kewangan pada masa itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Susu 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2017 di Sekolah Rendah Jerong, Marang, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.
Kamalanathan berkata, di seluruh Malaysia, program tersebut melibatkan 757,439 murid daripada 7,780 buah sekolah rendah dengan kos yang dibelanjakan sebanyak RM49.3 juta.
Tambahnya, dengan kejayaan program tersebut pada sebelum ini, ianya akan diteruskan pada masa akan datang.