Terengganu Terima Sumbangan 1,000 Pakej Prihatin Petronas

KUALA TERENGGANU, 17 November – Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan pakej prihatin mengandungi barang kelengkapan asas bernilai RM300 kepada 1,000 keluarga mangsa banjir di Terengganu.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata peruntukan melalui Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024 itu sebagai salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas yang prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur saban tahun.

“Sumbangan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa terbabit.

“Ia mengandungi keperluan asas seperti air mineral, selimut, peralatan mandian, makanan dan lain-lain,”ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, Petronas sentiasa peka dengan amaran episod hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh METMalaysia ekoran Monsun Timur Laut. 

Justeru itu beliau berharap sumbangan pakej prihatin mampu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

Dalam masa sama, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebanyak RM4,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas.

“Petronas berterima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini. 

“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi-agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,”katanya.