Terengganu Tubuh MTOT Perkasa Golongan Istimewa

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) bagi membantu memperkasakan golongan itu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata dengan wujudnya MTOT, kerajaan tidak boleh memandang ringan tentang aduan golongan OKU dan apa yang diutuskan perlu dibawa oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Mesyuarat Exco.

Katanya, Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan tersebut, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda kerajaan hari ini.

“Kita semua perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang.

“Lebih banyak ruang dan peluang yang perlu diberikan untuk memastikan OKU terlibat dalam agenda pembangunan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Timbalannya, Zuraida Md Noor.

Tambah Mohd Nor, pelbagai cabaran pastinya bakal dihadapi, dan daripada tekanan itu juga akan menghasilkan peluang kepada kita semua khususnya keluarga OKU.

“Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud: Sesudah kesulitan ada kemudahan.

“Kerajaan akan sentiasa membantu dan menyokong agar OKU terus kental, berdaya tahan dan bersifat lentur bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu," ujarnya.

Untuk rekod, peranan MTOT adalah untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU.

Di samping, mengumpul data dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan bagi pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi.

Sekali gus, menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi OKU dalam pasaran buruh.

 

 


Tag: