• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi

KUALA TERENGGANU, 30 Julai- Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antaranya dengan memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

“Terengganu juga akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial.

“Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas lanjut katanya, Terengganu akan mempelbagaikan ekonominya dengan melabur dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.

“Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” ujarnya.