Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon

KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG), pembangunan loji hidrogen hijau serta penjanaan dan perdagangan kredit karbon selain industri Unsur Nadir Bumi (REE) pada tahun mendatang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

Katanya, melalui aktiviti ekonomi di negeri kita ia menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran.

“Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon.

“Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Di samping itu jelas Ahmad Samsuri, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Uktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien.

“Serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti.

“Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.


Tag: