• 16 Sept 2024 | 12 Rabiul Awal 1446

Terengganu Turtles Sasar Kedudukan Terbaik STL

KUALA TERENGGANU, 5 September- Pasukan Terengganu Turtles meletakkan sasaran untuk menempatkan diri di Piala Kejuaraan 2024 apabila turun bersaing dalam Liga Premier Sepak Takraw (STL Premier) 2024.

Biarpun tahun ini merupakan pertama kali bersaing di Liga Premier setelah lima tahun beraksi dalam Divisyen Satu, pasukan pantai timur itu tidak gentar meletakkan sasaran mara lebih jauh pada saingan tahun ini.

Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, negeri Terengganu sebelum ini dilihat sebagai satu kuasa besar untuk bersaing dalam STL dan setelah lima tahun beraksi di Divisyen satu, Terengganu Turtles akhirnya telah berjaya melangkah ke Liga Premier.

"Kita sedia maklum negeri Terengganu antara negeri pengeluar pemain dan bintang sepak takraw tanah air.

"Harapan kita bukan sahaja persatuan, tetapi untuk membawa suara peminat serta komunti sepak takraw ditambah galakan dan sokongan kerajaan negeri, kita mahu mengembalikan negeri Terengganu sebagai negeri ketiga atau mungkin keempat terbaik dalam saingan STL 2024 kali ini.

"Saya menetapkan sasaran bersama pengurusan kali ini, kalau boleh untuk menjadi 'semi finalist' dalam setiap siri Grand Prix yang berlangsung dan menjadi juara pada siri yang berlangsung di Terengganu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Terengganu Turtles di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang mewakili kerajaan negeri sebagai sokongan kepada pasukan tersebut yang akan bersaing bermula 11 September nanti.

Dalam pada itu, Hishamuddin berterima kasih kepada PSNT turut meletakkan pemain-pemain bertaraf Sukan Malaysia (SUKMA) dalam saingan lebih mencabar di Liga Premier.

"Satu perkara yang cukup baik dan saya juga agak bersetuju adalah pendedahan mereka (pemain muda) yang berada bersama import yang lebih matang dan boleh mengajar cabaran berada dalam gelanggang, sebab masa depan mereka masih panjang dan bukan sahaja pada liga kali ini, tetapi pada tahun-tahun akan datang.

"Jadi pendedahan seperti ini kita sangat sokong dan kita harap mereka jadi pemain yang lebih berkualiti untuk Terengganu," katanya.

Untuk makluman, sempena penganjuran edisi ke-10 tahun, saingan Divisyen Premier STL mengalami perubahan format pertandingan bermula tahun ini menerusi pengenalan pusingan Grand Prix (GP) di lima lokasi berbeza.

STL akan membuka tirai kejohanan di GP Selangor pada 11 sehingga 15 September sebelum berakhir di GP Johor pada 29 Oktober hingga 2 November depan.

Antara paling menarik ialah penganjuran siri kedua iaitu GP Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak pada 24 hingga 28 September ini.

 


Tag: