• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

DUNGUN, 22 Jun-  Sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (Bakip) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rantau Abang telah mengagihkan daging korban kepada tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di DUN berkenaan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli merakamkan rasa terima kasih kepada badan kebajikan itu yang sudi memilih DUN Rantau Abang sebagai destinasi korban mereka kali ini. 

"Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan dengan tiga ekor sumbangan BAKIP manakala seekor daripada PKM, daging - daging akan diagihkan kepada tujuh JPKK iaitu   Pulau Serai , Alor Mak Bah, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Padang Pulut, Batu Putih dan Kampung Paya.

"Sebanyak 50 pek daging diedarkan kepada JPKK berkenaan untuk diagihkan kepada fakir miskin di tempat masing-masing.  "jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak program di Padang Bola Kampung Batu Putih di sini, pada Jumaat.

Mohd Fadhli juga berharap program sebegitu akan dapat diteruskan di tahun - tahun seterusnya. 

"Melihat suasana hari ini, insya-Allah, kita dapat mengadakan Korban Perdana tahun depan dan kita berharap juga BAKIP akan turut sama menjayakannya," ujarnya yang gembira dengan kerjasama ahli-ahli BAKIP, kakitangan PKM, orang kampung, muslimin, Muslimat , Pemuda dan Ameerah.


Tag: