THD ; Sejajar Dasar Wanita Terengganu Pegang Peranan Penting Kaum Hawa

KUALA NERUS, 23 Februari- Program Hari Hijab Terengganu (THD) yang diperkenalkan pada enam tahun lepas, sejajar dengan Dasar Wanita Terengganu pada 29 Disember 2022 memegang peranan penting dalam membentuk jati diri wanita.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ia berlandaskan keilmuan, keimanan, amal, ketakwaan dan nilai-nilai murni.

Katanya,  program ini tidak hanya menjadi satu inisiatif, tetapi juga menjadi landasan utama dalam membina wanita yang memiliki keperibadian kukuh.

"Wanita memainkan peranan yang besar dalam pembentukkan keluarga dan masyarakat. 

"Justeru perlu satu usaha yang holistik dan berstrategik dalam memastikan agenda ini terlaksana," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Hari Hijab Terengganu yang diadakan di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, pada semalam.

Tambahnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kasim yang komited dan begitu cakna kebajikan, pembangunan serta pemerkasaan wanita Terengganu.

"Besar harapan kami bagi pihak pihak penganjur (Kerajaan Negeri Terengganu) agar kita semua bersatu padu dan menyokong segala usaha dalam memperkasakan wanita
dengan ilmu serta akhlak yang murni," ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama menghayati setiap mesej yang disampaikan oleh pempengaruh  dijemput khas untuk program ini.

"Hijab bukan hanya sekadar kain yang meliputi kepala, tetapi ia adalah simbol ketakwaan, ketinggian martabat, dan kebanggaan dalam menjalani peranannya sebagai hamba Allah.

"Slogan THD iaitu 'Indahnya Berhijab' bertepatan dengan slogan kerajaan 'Indahnya Hidup Bersyariat'.

"Saya ingin mengajak semua hadirin untuk sama-sama kita menghayati betapa indahnya syariat Islam yang sebenar," tambah beliau lagi.


Tag: