KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Hasrat untuk memastikan masalah sampah yang sering kali menjadi isu ketika waktu perayaan akhirnya dapat diatasi setelah tiada aduan ditularkan di media sosial sebagaimana tahun sebelum ini.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata kejayaan itu hasil daripada kesungguhan para wira yang tidak didendang iaitu petugas-petugas kebersihan yang telah bertungkus lumus menjayakan Pelan Tindakan ditetapkan.
Justeru katanya, buat julung-julung kalinya seramai 196 para petugas termasuk tenaga sokongan menerima inisiatif sebagai bonus tambahan berjumlah RM58,800.
"Masing-masing menerima RM300 atas pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan Bandar Raya Kuala Terengganu berada dalam keadaan bersih sepanjang perayaan.
"Jadi, majlis hari raya yang diadakan pada malam ini sebagai tanda kebersamaan, jumlah yang diberikan dengan mengharapkan mereka akan bermotivasi dan terus cemerlang.
"Kerana telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jadi kita hargailah mereka dahsyat mereka berkerja, sehingga berjaga malam selama dua hingga tiga malam dan pada hari raya tertidur atas jalan.
"Ketika orang lain bertakbir raya, mereka pula meraikannya dan melaungkan takbir di tepi tong sampah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Kerajaan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed Dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Mengulas lanjut katanya, bagi menjayakan tindakan kerja pembersihan itu seluruh tenaga MBKT yang ada dikerahkan bagi membentuk satu pasukan khas yang mantap.
"Selain itu kita juga menyediakan 'tong roro' serta memastikan lori-lori yang digunakan dapat beroperasi dengan baik selama operasi dijalankan jika berlaku kerosakan akan dibaiki segera.
"Bagi pihak saya sangat bersyukur dan saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Besar (Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dalam 'Mesyuarat EXCO' bahawa tahun ini kita sehingga tidak menerima lagi sebarang aduan," ujarnya lagi.