'Tidak Masuk Akal Persoal Kenapa Terengganu Bergantung Pada Minyak'

KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Kerajaan negeri menegaskan bahawa tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan kenapa Terengganu bergantung kepada hasil minyak dan gas.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sedangkan sama ada mereka suka atau tidak (hasil royalti dan wang ihsan) adalah hak rakyat negeri ini.

“Jadi janganlah ada pihak di luar sana yang menyebut ‘Terengganu jangan bergantung pada hasil royalti atau wang Ihsan’, kerana tindakan demikian umpama peribahasa menyebut ‘sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’.

“Ini adalah kerana bagi kami di Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di Terengganu adalah hak Terengganu sejak 1978 sebagaimana yang pernah saya sebutkan ketika sidang Dewan Rakyat lalu dan termaktub dalam berbagai enam dokumen rasmi dan kontrak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, keadaan itu hanya bermula dan berlaku akibat daripada perbezaan politik pilihan rakyat dalam pilihan raya.

“Menambahkan lagi kecelaruan, ada pula yang menyebut dan memaksa Kerajaan Negeri dengan tindakan seperti ‘menyekat royalti pada hari ini, dan esok terus diminta jana hasil baharu’, itu adalah tindakan yang tidak masuk akal,” ujarnya.

Menurut beliau, ia umpama ‘mengikat kaki dan tangan dan disuruh berenang pula’ sedangkan anak-anak yang lain dapat berenang bebas.

“Puncanya kerana anak ini berbeza pandangan politik kepartian, dan ada rakan taulan baik si ayah ini pula beranggapan jika ditekan, disusahkan, dan dilemaskan anak ini, mungkin akan ada hasilnya kepada ‘kawan ayah’ di satu hari nanti di tempat bertuah ini,” jelasnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang merancang dan menyambut dengan gembira sekatan wang royalti minyak dan gas ke Negeri Terengganu atas apa jua alasan kepentingan politik atau tidak, merekalah sebenarnya kelompok yang membawa rakyat, masyarakat, negeri dan negara ke belakang dan wajar ditolak oleh rakyat.