HULU TERENGGANU, 26 Februari - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan penduduk di daerah Hulu Terengganu menghadapi bencana banjir luar jangka susulan hujan lebat sejak khamis baru-baru ini.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud yang membuat pemantauan banjir di daerah itu juga berpuas hati kepatuhan mangsa banjir terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 di PPS.
Katanya, kerjasama yang diberikan memudahkan pihak berkuasa dalam operasi pemindahan mangsa.
"Hampir semua mangsa segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan sebaik sahaja rumah dinaiki air tanpa perlu menunggu arahan pihak berkuasa.
"Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terjaga sepanjang musim banjir," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Kampung Kepah petang ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli.
Sementara itu Ahmad Azizi berkata, bekalan makanan dan barangan keperluan di 16 pusat pemindahan sementara(PPS) yang dibuka dijamin mencukupi bagi menampung keperluan mangsa banjir di luar tempoh kebiasaan.
"Kita usahakan penghantaran semua bekalan dengan kerjasama semua pihak walaupun banyak jalan utama terjejas dan ditutup dengan menggunakan laluan alternatif menaiki kenderaan berat," katanya.