DUNGUN, 28 November – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura setelah hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, berkata banjir yang melanda kawasan tersebut disebabkan oleh hujan yang tidak henti-henti turun, menyebabkan saliran longkang tidak mampu menampung jumlah air yang masuk. Keadaan ini menyebabkan limpahan air di beberapa kawasan sekitar Dun Sura.

"Dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Dungun dan Sekolah Kebangsaan Sura menempatkan penduduk yang terjejas. Setakat ini, lebih 100 orang telah dipindahkan ke PPS berkenaan melibatkan penduduk," katanya sewaktu membuat tinjauan di PPS berkenaan.

Beliau turut menambah bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Majlis Daerah Dungun bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir terjaga.

Menurut Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin lagi, pihak berkuasa akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air di kawasan terjejas, dan mengingatkan penduduk untuk sentiasa berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu ini turut memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan dalam menguruskan bantuan dan memastikan keselamatan orang ramai.

"Saya harap semua penduduk dapat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Elakkan daripada mendekati kawasan yang dinaiki air bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.


Tag: