Tindakan Sekat Hak Royalti Suburkan Dendam

KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Negeri tiada autoriti ke atas hampir 60 peratus hak royalti Terengganu sebagaimana keadaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) November 2022.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, tindakan politik kuno itu sudah pasti menyebabkan rakyat Terengganu mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, kita dera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara.

"Tindakan politik kuno yang dilakukan ini telah mencetuskan suasana tidak harmoni dan akan membangunkan dendam lebih dalam.

"Sedangkan kita di peringkat kerajaan negeri, bertahun-tahun berusaha memadam api dendam dan permusuhan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, disebabkan itu segala urusan perbelanjaan negeri yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

"Lebih menyusahkan, pegawai kewangan negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu per satu, 'case by case' kepada MOF bagi mendapatkan kelulusan peruntukan royalti yang merupakan hak kita.

"Sehingga Oktober 2024, secara atas kertas diluluskan RM1.265 bilion wang royalti, akan tetapi hanya RM528 juta sahaja yang disalurkan ke akaun kerajaan negeri, itu pun sebahagian besarnya melibatkan emolumen.

"Manakala selebihnya iaitu RM737 juta dibayar terus oleh MOF kepada pihak-pihak berkenaan," katanya.

 


Tag: