TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
KUALA TERENGGANU, 24 November - Persidangan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 menggariskan lima teras dalam rangka kerja kesatuan dan solidariti untuk keamanan, kemakmuran, nilai budaya, dan maruah manusia secara global.
Menghimpunkan pemimpin komuniti, masyarakat sivil, dan warga global dari Malaysia, Rusia, Oman, Turki, Filipina, Indonesia, dan Palestin, persidangan berkenaan turut mencadangkan 12 pelan tindakan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dibentangkan.
Ketua pegawai eksekutif TSIS, Profesor Madya Dr Mohd Hanif Yaacob berkata, antara teras yang digariskan ialah memperkukuh kepimpinan global yang strategik dengan menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bertujuan memupuk kerjasama, persefahaman, dan visi bersama dalam kalangan pemimpin dari pelbagai sektor.
"Insya-Allah, TSIS yang merupakan agensi strategik kerajaan Terengganu akan menjalankan amanah sebagai sekretariat kepada majlis kepimpinan ini.
"Selain itu teras ini menekankan pentingnya pembangunan kapasiti untuk pemimpin yang mana negara anggota akan melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik dan rundingan, dengan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan pengisytiharan resolusi TIS 2024 di Duyong Marina & Resort, semalam.
Menurut Dr. Hanif, teras kedua ialah memberdaya pengetahuan dan pendidikan menuju Kesatuan melalui peningkatan pengetahuan kontemporari dan memanfaatkan teknologi untuk advokasi dan serta penyebaran maklumat agar mesej kesatuan dan soldariti sampai kepada lebih banyak pihak terutamanya generasi muda melalui tindakan memajukan pemikiran Islam dan pelbagai sumber ilmu bagi manfaat ummah serta membebaskan ummah dari penjajahan intelektual.
"Teras yang ketiga adalah mengurus konflik dalaman secara berkesan dengan menekankan toleransi dan kerjasama antara mazhab serta kelompok Muslim dalam menangani cabaran bersama, selain memperbanyakkan kerjasama dan dialog di kalangan pemimpin mazhab serta pemimpin Sunni dan Syiah supaya umat Islam dapat bersatu menentang ketidakadilan.
"Teras yang keempat ialah mentransformasi kerjasama ekonomi untuk pembangunan, diterjemahkan dengan menggalakkan negara Islam yang kuat untuk melakukan pelaburan di negara-negara kurang membangun sebagai satu langkah penting ke arah kesatuan ummah.
"Tindakan seterusnya ialah menyeru individu berpengaruh untuk mengutamakan pelaburan ummah dalam pembangunan lestari dan pelaburan selari dengan prinsip keadilan selain mempromosikan produk tempatan untuk memperkukuh kemandirian ekonomi dan meningkatkan kerjasama serantau," ujarnya.
Teras terakhir yang digariskan TIS 2024 adalah memperkasa diplomasi dan solidariti ummah secara global melalui seruan gencatan senjata dalam genosid di Gaza disertai penyelarasan usaha bantuan serantau untuk Palestin demi memenuhi keperluan kemanusiaan dan kestabilan jangka panjang.
Tindakan terakhir dari teras kelima ialah menggalakkan strategi pelaburan beretika, termasuk menyokong gerakan Boikot, Divestasi, dan Sekatan (BDS) terhadap entiti yang melanggar hak asasi manusia.
Dr. Hanif turut memaklumkan, TIS akan berfungsi sebagai platform untuk membangunkan penyelesaian kepada cabaran ummah, menjadikan resolusi yang digariskan sebagai agenda strategik nasional, dan memupuk kerjasama antara pemimpin pendapat serta pembuat dasar untuk menyepadukannya ke dalam pelan pembangunan negara.