MARANG, 29 Julai - Inisiatif 60 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang menginfaqkan sumbangan dengan menyambung bekalan elektrik rumah seorang nelayan Yusri Musa, 49 wajar dipuji.
Ketua Teknikal TNB Marang, Ahmad Aswadi Lawi @ Ali berkata, pada masa sama turut menghulurkan kelengkapan rumah termasuk, dapur memasak, pengisar, periuk nasi serta barangan dapur.
"Sumbangan ini bukanlah yang pertama di mana pernah dilaksanakan, malah turut membantu keluarga lain yang sangat memerlukan.
"Walaupun di Daerah Marang, tidak mempunyai program rasmi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), namun ini adalah merupakan salah satu kaedah memberikan bantuan kepada komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan sumbangan keperluan dapur dan perabot dapur kepada Yusri Musa di Kampung Kelulut.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung.
Sementara itu, Nasaruddin Samsudeng berkata pihaknya sungguh berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada TNB Marang serta semua staf yang terlibat dalam menyumbang bantuan tersebut.
"Besar sungguh sumbangan mereka walaupun di peringkat Daerah Marang tidak mempunyai projek CSR secara rasmi, namun mereka tetap membantu dengan melakukan amal jariah ini.
"Jika hari ini mereka terangkan rumah keluarga ini, maka di sana nanti engkau terangkan lah kubur mereka, mudah-mudahan kerja buat mereka diganjari kelak," tambahnya lagi.
Sebelum ini, Yusri Musa adalah penerima rumah bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak dapat tinggal di rumahnya kerana tidak mampu menyambung bekalan elektrik dan air bersih.