Tohmahan Terhadap Marzuki Tidak Benar

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober – Beberapa dakwaan terhadap Timbalan Presiden (II) Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkait pengurusan entiti itu disifatkan sebagai tidak benar.

Sekretariat Agung PBSNT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tohmahan itu termasuk laporan marzuki mencampuri urusan pemilihan pegawai dan pemain Terengganu Football Club (TFC).

“Ketua jurulatih pasukan masing-masing TFC, TFC II, TFC III dan TFC IV telah diberi kuasa penuh untuk memilih pegawai dan pemain yang diinginkan seterusnya dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan bagi mendapatkan persetujuan terutamanya isu kewangan.

“Kuasa penuh yang diberikan memperlihatkan Terengganu FC di bawah bimbingan Irfan Bakti sebelum ini berjaya menamatkan saingan selaku naib juara Liga Premier 2017 dan layak ke Liga Super 2018, berada di pentas akhir Piala Malaysia, manakala TFC II menjuarai Piala Cabaran Edisi Pertama, TFC III juara Piala Presiden dan TFC IV naib juara Piala Belia 2018,” jelas PBSNT.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Marzuki sebagai salah seorang daripada enam orang Ahli Lembaga TFC Sdn.Bhd adalah merupakan persetujuan ketetapan Kongres PBSNT yang dicapai secara kolektif pada 2017. 

“TFC Sdn.Bhd merupakan anak syarikat PBSNT yang memiliki 10 peratus pegangan saham dan Kongres bersetuju Ahli Lembaga Pengarah adalah berdasarkan jawatan yang disandang seperti seorang Presiden PBSNT, dua orang Timbalan Presiden PBSNT, seorang Setiausaha Agung PBSNT, seorang Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan Negeri dan seorang Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi peringkat permulaan penubuhan. 

“Oleh yang demikian, Marzuki adalah merupakan Timbalan Presiden PBSNT pada masa ini dan beliau secara automatik menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah TFC,” kata kenyataan itu. 

Tambah PBSNT, pengalaman beliau dalam arena bola sepak negeri dan negara banyak membantu TFC menempa beberapa kejayaan. 

“Hubungan baik dengan Tunku Mahkota Johor selaku Pengerusi MFL (sebelum ini) dan pengurusan tertinggi MFL, projek perintis menaiktaraf padang yang diperkenalkan MFL tersebut dan TFC adalah salah sebuah pasukan yang terpilih. Akhirnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah berwajah baru dan mempunyai padang yang berkualiti tinggi yang siap sepenuhnya pada awal tahun 2020.

“Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang juga banyak membantu dalam pembangunan pemain muda di peringkat Piala Presiden dan Belia.

“Marzuki tidak pernah menerima apa-apa bayaran atau elaun sebagai Timbalan Presiden PBSNT dan sejak 2017 beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam pasukan. Beliau telah memberikan khidmat bakti yang tinggi demi melihat kemajuan bolasepak Terengganu berada dipuncak kecemerlangan,” ujar PBSNT


Tag: