KUALA NERUS, 5 Julai – Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa akan ada tokoh besar bakal diumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Samsuri berkata pengumuman tersebut bakal diadakan pada program Himpunan Teguh Pertahan Jelajah Mega PN pada 7 hingga 8 Julai ini.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan latar belakang individu yang dimaksudkan itu.
“Mari sama-sama kita hadir pada himpunan tersebut untuk menyaksikan siapa tokoh yang bakal diumumkan itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, program yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu bakal dihadiri oleh beberapa tokoh besar PN di seluruh Malaysia.
"Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan calon muka baharu dan muka lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
"Setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan akan diputuskan tidak lama lagi.
"Apa yang penting kita masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menang besar dan mentadbir dengan penuh yakin," ujarnya.