• 12 Okt 2024 | 09 Rabiul Akhir 1446

Tour Gateh d'Tranung Pikat Pelumba Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Tour Gateh d'Tranung (TGdT) semakin mendapat tumpuan apabila penganjuran kali ketiga yang akan berlangsung 22-28 Oktober ini berjaya menarik penyertaan 10 pasukan berbasikal profesional luar negara.

Pasukan dari Belanda, Global Cycling Team akan turut disertai Sunrimoon Cycling Team yang berpangkalan di China bersama tiga pasukan dari Indonesia iaitu NC Pro Cycling Team, Nusantara Cycling Team dan ASC Monster Cycling Team.

Selain itu, ia turut disertai Australia Velofit Cycling Team, Grant Thorton Cycling Team (Thailand), Spacialized Maverick Cycling Team (Singapura), Seven Eleven Cycling Team (Filipina) dan RCF Cycling Team yang berpangkalan di Malaysia tetapi menampilkan gabungan pelumba Eropah dan Asia.

Pasukan-pasukan itu melengkapkan jumlah 25 pasukan bertanding melibatkan 13 pasukan kelab profesional dan 12 pasukan kelab tempatan yang akan menakluki bumi Terengganu hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, penglibatan pasukan-pasukan antarabangsa memberi keyakinan usaha mempromosikan negeri sebagai destinasi pelancongan sukan dan mengangkat Terengganu sebagai 'Land of Cyclist' berada di landasan yang betul.

"Impak paling ketara, kelab luar berhasrat menyertai perlumbaan ini selepas habis siri kedua tahun lalu yang mana mereka terus hubungi kita untuk tempah slot bagi siri ketiga kali ini.

"Antara punca penyertaan mereka rancak pada tahun ini adalah kerana 'live streaming' yang telah disediakan penganjur, bertambah berbanding dua pasukan (antarabangsa) sahaja tahun lalu.

"Sebenarnya kita menerima tawaran lebih 30 pasukan, tetapi terpaksa dihadkan kepada 25 pasukan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media TGdT di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Hishamuddin menjelaskan, penganjur kejohanan menghadkan pasukan bagi menepati syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan bahawa setiap perlumbaan menerima penyertaan tidak melebihi 200 pelumba.

Tambahnya, sekalipun kejohanan berkenaan belum bertaraf UCI, syaratnya diikuti dalam usaha meningkatkan nilai dan prestij kejohanan.

TGdT menawarkan perlumbaan sejauh 671.3 kilometer merangkumi lima peringkat. Peringkat pertama akan bermula di Dungun, Marang (Peringkat kedua), Hulu Terengganu (ketiga), Kuala Nerus (keempat) dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu (kriterium).


Tag: