TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 November - Lembah Silika Terengganu (TSV) berpotensi dijadikan sebagai hab strategik untuk industri silika dan kuarza, di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, lokasinya strategik dan  mempunyai simpanan silika dan kuarza yang besar, menyokong strategi pertumbuhan ekonomi mampan.

"TSV bertujuan menjadi pusat aktiviti hiliran berasaskan silika dan kuarza, dengan kawasan perindustrian seluas 4,000 hektar yang dirancang di Marang, Terengganu.

"Ia mempunyai infrastruktur lengkap, termasuk akses kepada gas asli, elektrik, dan air, serta pelabuhan dan jaringan logistik berdekatan (Pelabuhan Kemaman dan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur yang akan datang).

"TSV disusun untuk aktiviti huluan (perlombongan dan pemprosesan silika) serta hiliran (pembuatan kaca, panel solar, elektronik)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Tambahnya, pelan induk melibatkan pembangunan secara berfasa untuk memenuhi pelbagai keperluan industri, termasuk kawasan seluas 1,272 hektar untuk fasa awal.

"TSV akan disokong oleh bekalan utiliti yang kukuh, termasuk elektrik berkuasa tinggi, gas, dan air. 

"Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menawarkan insentif seperti pengecualian cukai, elaun pelaburan, dan pengecualian duti import untuk menarik industri pembuatan dan penyewa utama," ujarnya lagi.

Menurutnya, TSV juga mewakili peluang besar untuk industri silika dan kuarza di Asia Tenggara, menyediakan ekosistem perindustrian yang lengkap untuk pelabur tempatan dan antarabangsa.


Tag: