BESUT, 28 September – Sejumlah RM500,000 telah diperuntukan kerajaan bagi membina tukun tiruan yang berfungsi memperkayakan sumber laut dan menghalang aktiviti haram pukat tunda.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu, RM300,000 adalah dana daripada kerajaan negeri dan bakinya kerajaan persekutuan.
"Tukun bukan sahaja mampu jadi tempat pembiakan ikan, tetapi ia juga mampu menghentikan aktiviti pukat tunda nelayan asing kerana apabila pukat tersebut tersangkut pada tukun ini ia akan merosakkan pukat tunda sekali gus menghentikan aktiviti yang dilakukan secara haram tersebut.
‘’Usaha kita demi nelayan. Bermula semalam dan hari ini, 16 bongkah tukun tiruan seberat 16 tan setiap unit telah dilabuhkan di perairan Kuala Ibai Kuala Terengganu dan Benting Lintang Besut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Labuh Tukun dan Agihan Bubu 2020 di Benting Lintang, di sini semalam.
Dalam pada itu, Dr Azman turut mengharapkan para nelayan terus menyemai sifat kebersamaan tanpa mementingkan diri sendiri dalam menjaga ‘hadiah’ tersebut.
"Tolong jangan potong pelampung penanda tukun ini. Ini adalah tukun rekreasi untuk kegunaan umum. Siapa pun boleh mari memancing dan sebagainya.
"Tukun yang kita labuhkan sebelum ini telah hilang pelampungnya, dipotong oleh mereka yang tak nak orang lain tahu bahawa di situ ada tukun. Mudah sebut, dia nak bolot hasil sorang. Lepas tanda GPS, pelampung dipotong. Kalau kita guna kabel besi pun masih boleh dipotong. Ini sikap yang sangat tak murni," tegasnya.