Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengiktiraf Kampung Baru, Seberang Takir sebagai kampung angkat bagi mengenang jasa kampung kelahiran seorang penyumbang tabung penubuhan universiti itu, Ahmad Tahir, 61.
Pada ketika itu, Ahmad Tahir yang turut dikenali masyarakat setempat sebagai Nordin berusia 13 tahun telah menggunakan wang simpanan RM1 sebagai sumbangan tabung itu pada 1968.
Inisiatif Ahmad Tahir itu dipaparkan dalam akhbar dengan berita berkenaan ditulis sendiri oleh bapa saudaranya, Allahyarham J.M Aziz yang juga penyair ulung Terengganu.
Ahmad Tahir dijemput dalam Program 360 Kampung Angkat UKM-Kampung Baru, Seberang Takir yang diadakan di Dataran Pertama Seberang Takir, hari ini.
Hadir merasmikan program, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Halina Zakaria dan Naib Canselor UKM, Datuk Dr Azlan Ghazali.
Ahmad Tahir berkata, dia sememangnya tidak mengetahui terdapat berita mengenainya sebelum dimaklumkan saudaranya mengenai keratan akhbar yang tersebar melalui laman sosial.
“Saya juga berasa terharu apa yang dilakukan ketika berada di Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Seberang Takir itu dirai UKM, termasuk turut diraikan pada Sambutan Ulang Tahun UKM ke-46, baru-baru ini,” katanya .
Menurutnya, dia tidak berpeluang memasuki universiti itu yang pasti menjadi pilihan utamanya kerana terkandas di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Anak-anak juga tidak berpeluang, namun sekurang-kurangnya saya sudah sampai ke sana dan diraikan. Detik itu tidak akan saya lupakan. Sangat membanggakan saya,” katanya yang juga bekas penyelia mesin di kilang besi Perwaja, Kemaman.
Sementara itu, Azlan berkata, Program 360 Kampung Angkat UKM merupakan inisiatif pihaknya untuk mendekati masyarakat melalui pengkonsian ilmu dan kepakaran secara berimpak tinggi.
“Justeru itu, UKM akan merangka program bersesuaian antaranya Kampungku Bebas Denggi, TOT Ujian Saringan Mata, Kaluseling Keluarga Kelompok dan Program Asas Bisnes Online,” katanya.