UMT, MARDI Jalin Kerjasama Dalam Aktiviti Penyelidikan
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalin kerjasama dua hala dalam mempertingkatkan lagi aktiviti penyelidikan dan perkongsian kepakaran kedua belah pihak.
Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, MoU itu memberi peluang untuk UMT dan MARDI terus memperkasakan penyelidikan bersama terutama dari aspek jaminan keselamatan makanan dalam negara serta penghasilan produk inovasi yang boleh dimanfaatkan untuk komuniti.
"MoU ini juga akan melibatkan program pertukaran ahli akademik UMT dan kakitangan pengurusan serta profesional di MARDI dalam aktiviti seperti perundingan dan latihan sabatikal yang melibatkan penerbitan bersama penyelidikan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.
"Kami berharap MoU ini akan melonjakkan lagi kepakaran universiti dalam bidang marin dan akuatik untuk membantu MARDI dan negara khususnya dalam teknologi terkini yang berkait rapat dengan kemajuan bidang pertanian dan aspek berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangi MoU itu bersama Ketua Pengarah MARDI, Dato' Dr Sharif Haron sempena Persidangan Pengisyaratan Sel Antarabangsa di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Nor Aieni berkata, penganjuran persidangan selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan melonjakkan kepentingan bidang pengisyaratan sel yang menjadi tunjang atau fundamental kepada ilmu-ilmu lain yang bersifat aplikasi.
Katanya, kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan ini dibahagikan kepada sub-tema seperti pengisyaratan sel dalam aplikasi perubatan, persekitaran, keselamatan makanan dan kajian lain yang berkaitan dengan sains hayat.
"Ia sangat berkait rapat dengan produk semulajadi, pengawalaturan hormon tumbuhan, biopenanda, modifikasi genetik organisma, biokimia, toksikologi dan farmaseutikal.
Menurut Nor Aieni, pengisyaratan sel merupakan sistem komunikasi sel yang melibatkan pengaturan seluruh aktiviti di dalam dan luar sel sebagai tindak balas terhadap sesuatu isyarat kimis tertentu.
"Ilmu dan penyelidikan yang berasaskan pengisyaratan sel ini telah terbukti memberi manfaat di dalam pelbagai bidang aplikasi seperti kejuruteraan perubatan, kejuruteraan makanan dan tumbuhan serta toksikologi persekitaran.
“Pemahaman ilmu biologi ini telah menjadikan bidang ini satu bidang multi disiplin yang bersifat holistik dan terkehadapan dalam menyelesaikan pelbagai isu termasuk rawatan penyakit berjangkit dan penyakit kronik, menangani masalah ketidakcukupan makanan dari sumber haiwan dan tumbuhan serta untuk kesejahteraan hidup manusia secara keseluruhan,” katanya.