lightning-solid
Berita :
UniSZA Arah Bunting Iklan Klinik Diturunkan, Siasatan Dalaman Dijalankan
UniSZA Arah Bunting Iklan Klinik Diturunkan, Siasatan Dalaman Dijalankan
Mastura Jamal Din
23 jam yang lepas
261

KUALA NERUS, 20 Julai - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengarahkan semua bunting iklan melibatkan Klinik Perubatan UMC diturunkan serta-merta selepas kandungannya yang tular di media sosial dikenal pasti pada 13 Julai lepas.

Dalam kenyataan hari ini, universiti itu memaklumkan arahan berkenaan dikeluarkan kepada UniSZA Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, semua bunting berkenaan diturunkan pada hari yang sama selepas dipaparkan kurang daripada lima jam.

UniSZA mengakui kandungan bunting tersebut menggunakan pemilihan perkataan yang kurang sesuai untuk dipaparkan kepada masyarakat umum dan memandang serius perkara itu.

"Universiti telah mengarahkan UHSB menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan setiap bahan promosi yang diterbitkan pada masa hadapan mematuhi prosedur, garis panduan dan piawaian komunikasi yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Operasi Klinik Perubatan UMC, termasuk pengurusan bahan promosi, berada di bawah tanggungjawab UniSZA Medical Services Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik UHSB.

Sehubungan itu, UniSZA turut mengarahkan UHSB menyemak semula proses semakan dan kelulusan semua bahan promosi di bawah syarikat-syarikat miliknya supaya lebih teliti, profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat.

Universiti itu turut memaklumkan UHSB melalui UniSZA Medical Services Sdn. Bhd. telah mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk permohonan maaf kepada orang ramai atas segala ketidakselesaan, kekeliruan dan kebimbangan yang timbul.

Menurut kenyataan itu, UHSB juga komited menambah baik proses semakan dan kelulusan bahan promosi serta memperkukuh kawalan dalaman bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

UniSZA berkata sebagai institusi induk, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan langkah penambahbaikan yang diarahkan kepada UHSB bagi memastikan semua bentuk komunikasi dan promosi yang menggunakan nama serta imej universiti mencerminkan nilai profesionalisme, integriti dan menghormati sensitiviti masyarakat.


Tag :

Artikel Berkaitan