UniSZA Bangunkan Ekosistem Bahasa Inggeris




Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil langkah proaktif dalam membangunkan ekosistem bahasa Inggeris di kampus itu menerusi pelaksanaan program perdana Enrich My English Language atau EMEL.

Timbalan Naib Canselornya (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, pendekatan itu merupakan satu manifestasi kepada program flagship bahasa Inggeris yang disarankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada semua universiti awam di negara ini dengan seramai 120 pelajar prasiswazah dari tujuh fakulti terpilih untuk menyertainya.

Katanya, pelaksanaan EMEL mampu melahirkan golongan pelajar yang boleh menggunakan bahasa Inggeris dengan yakin dalam kedua-dua sektor akademik dan pekerjaan di samping dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam masyarakat.

"Sokongan penuh daripada pengurusan universiti serta kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) membolehkan empat modul dihasilkan bagi meningkatkan bahasa Inggeris pelajar di UniSZA.

"Modul ini adalah pengucapan awam, bahasa Inggeris di kampus, English for fun dan English in Action dengan kesemuanya dilengkapi dengan pelbagai aktiviti," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan program tersebut di sini baru-baru ini.


Program yang berlangsung selama 12 minggu, bermula dari 21 September hingga 14 Disember depan itu diadakan pada setiap petang Khamis selama tiga jam.

Mahadzirah memberitahu, sepanjang tempoh tersebut peserta EMEL dilatih oleh 64 fasilitator yang sangat cekap dan terlatih terdiri daripada pelajar semester tiga dan lima jurusan Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dari FBK UniSZA.

Katanya, kesemua fasilitator itu telah menjalani program Training of Trainers (ToT) yang ketat dan komprehensif bagi memperincikan kandungan dan aktiviti yang perlu dilakukan dalam situasi sebenar bersama peserta Emel.

"Untuk melihat peningkatan peserta, penilaian juga diberikan pada akhir setiap sesi yang dijalankan kerana ia penting untuk pihak universiti melaksanakan program yang sama pada masa akan datang”.


"Harapan kita agar peserta program dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan untuk menguasai bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di UniSZA," katanya.

Tag: