UniSZA Lahirkan Hero Komuniti Perdana

KUALA NERUS, 10 Januari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) buat julung kalinya menjalankan program komuniti dan sukarelawan yang dikenali sebagai Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna di seluruh Malaysia termasuk negara luar.

Seramai 1,500 siswa melaksanakan program komuniti tersebut  termasuk alumni-alumni UniSZA yang berada di luar bagi membantu masyarakat di Indonesia, Thailand, Kemboja, Nigeria, Mauritius dan Palestine.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini melalui mahasiswa UniSZA yang prihatin. 

“Di Sarawak, ada sukarelawan kami terpaksa meniti jambatan usang untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan OKU dan dalam masa yang sama turut mendekati barisan ‘frontliner’ negara untuk menyampaikan bantuan.

“Malah, di negeri-negeri yang dilanda banjir juga turut dibantu oleh pelajar UniSZA dengan mengadakan program gotong royong membersih rumah, menyampaikan sumbangan bantuan dan membantu mangsa banjir di pusat pemindahan”, katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna secara atas talian yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad, menerusi platform Webex dan Facebook live di Kementerian Pengajian Tinggi (KMT) dan juga secara langsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak, hari ini.

Menurutnya lagi, di luar negara pula, program itu sertai oleh barisan alumni-alumni UniSZA yang berjiwa besar mahu membantu masyarakat mereka di sana.

“Keenam-enam negara ini menganjurkan program yang cukup hebat seperti di Kemboja yang membantu penduduk Islam di sana dengan membaiki infrastruktur sekolah, masjid dan pembinaan telaga.

“Di Thailand, memberi pendedahan Pendidikan komunikasi Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak luar bandar secara berterusan dan di Palestin pula, menghulurkan bantuan pemasangan langsir di sebuah dewan untuk kegunaan aktiviti masyarakat serta penanaman 100 anak pokok zaitun,” katanya. 

Sementara itu, Noraini berkata UniSZA telah berjaya membuktikan bahawa pelaksanaan aktiviti dan program tidak terbatas serta tidak menjadi halangan dengan ketiadaan mahasiswa di kampus.

“UniSZA mengambil pendekatan kreatif dan pro aktif dengan menjadikan keberadaan mahasiswa di kampung halaman masing-masing sebagai peluang untuk membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat di kawasan mereka.

“Saya sarankan supaya universiti lain juga, tidak mengira daripada IPTA mahupun IPTS, boleh mengambil pendekatan yang sama seperti yang telah dijalankan oleh UniSZA dan mungkin mahasiswa boleh bekerjasama dengan universiti lain bagi melaksanakan sesuatu program di kawasan mereka," ujarnya lagi.

Beliau turut menasihati pelajar-pelajar yang terlibat untuk menjaga keselamatan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutamanya kawasan yang dilanda banjir dan berstatus zon merah.