KUALA NERUS, 8 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedia membantu kerajaan negeri untuk mengembangkan persijilan Kotej Halal di negeri ini, bagi membolehkan peniaga makanan mikro dan kecil memasuki pasaran lebih jauh dan menepati piawaian persijilan halal yang ditetapkan di Malaysia.
Pengarah Pusat Penyelidikan Halal UniSZA, Prof Madya Dr. Mohd Sadad Mahmud berkata, Kotej Halal itu merupakan antara perkara yang diberikan penekanan dalam memperkasakan ekosistem halal di Terengganu melibatkan kerjasama dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pejabat Mufti.
"Kotej Halal ini penting untuk negeri Terengganu dimana 97 peratus merupakan muslim dalam masa yang sama ramai rakyat negeri ini terlibat dengan industri mikro dan kecil yang buat pelbagai jenis kuih tradisional serta bermacam-macam lagi kuih muih dengan memiliki harapan untuk menembusi pasaran yang lebih jauh.
"Contoh, nak masuk pasaran hotel yang mempunyai pengiktirafan halal yang memerlukan bekalan kuih tradisional jadi disini Kotej Halal memainkan peranan penting supaya pengusaha mikro atau kecil yang berhasrat untuk melangkah lebih jauh dapat menjadi pembekal utama yang menyumbang kepada ekosistem halal di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Halal Research Centre (HRC) di UniSZA, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut, katanya , pemerkasaan ekosistem halal itu perlu diperjuangkan di Terengganu kerana menjadi negeri kedua paling rendah yang ada persijilan halal selepas Perlis disebabkan ramai yang tidak mengambil berat kerana merasa selesa tinggal di negeri yang majoritinya muslim dan merasakan tidak ada keperluan.
"Bagi saya penting untuk rakyat tahu, kalau pengusaha itu memiliki kesedaran maka dia akan daftar dengan JAKIM untuk mendapatkan persijilan halal itu dan kita di UniSZA menyediakan latihan keranan telah dilantik menjadi Pusat Latihan Halal manakala JHEAT pula diberikan kuasa untuk penganugerahan Kotej.
"UniSZA telah dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Pusat Latihan Halal, manakala JHEAT diberikan kuasa penganugerahan Kotej Halal.
"Pemerkasaan perlu dilakukan di Terengganu kerana menjadi negeri kedua paling rendah yang ada persijilan di Terengganu, pengusaha perlu mempunyai kesedaran dalam memastikan produk mereka diyakini.
"Halal ini bukan sahaja melibatkan apa yang terkandung dalam sesuatu produk tersebut, tetapi ia juga turut melibatkan proses sepanjang penghasilan termasuk penyediaan memastikan ia menepati apa yang disyariatkan di dalam Islam iaitu mencari sesuatu yang halal dan tayyiban itu merupakan perkara yang difardukan di dalam Islam," ujarnya.
Jelasnya, adalah menjadi harapan agar lebih banyak perusahaan makanan di negeri akan mendapat sijil halal dan Terengganu tidak lagi berada di tangga yang tercorot sebaliknya akan meningkat setiap tahun dengan ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada percambahan ekonomi dalam kalangan rakyat negeri ini.
"Mudah sahaja, daftarlah dengan JAKIM, lengkapkan semua, dalam masa sebulan pihak tersebut akan audit sama ada layak atau tidak memiliki persijilan halal, bayarannya tidak banyak dan tinggi, yang bayaran tinggi kerana sesetenganhnya melantik konsultan dalam usaha untuk mendapatkan persijilan halal itu," ujarnya.
