Usahawan Muda Raih Pendapatan Lumayan Jual Belacan

KUALA NERUS, 15 November - Meskipun di usia muda, seorang pemuda sudah mampu meraih pendapatan yang lumayan dengan hanya menjual belacan.

Menurut pemilik Belacan Sri Tanjung Mas, Muhammad Aimy Shahril, 19, kesbiasaannya dia berjaya meraih hasil jualan purata RM1,000 sehari.

Katanya, dia pada mulanya sekadar suka-suka dan ingin meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan.

"Saya bersekolah sampai tahun lima sahaja dan belajar agama di sekolah pondok selepas itu.

"Ketika musim cuti, saya akan membantu arwah bapa membuat belacan dan pada usia 14 tahun, bapa mula mengajar saya selok belok berniaga belacan.Saya mewarisi perniagaan ini selepas ayah meninggal kerana saya merupakan anak tunggal,"ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, ayahnya mengusahakan belacan lebih 20 tahun dan beliau kini mengambil alih perniagaan itu setelah lima tahun pemergian ibu bapanya dengan pekerja seramai 12 orang berusia 18 hingga 50 tahun.

“Setakat ini kami dapat membuat 1,600 ketul belacan sehari jika cuaca panas," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab merasa bangga dengan usaha anak muda tersebut yang juga anak jati Seberang Takir.

"Kejayaannya dalam bidang perniagaan belacan boleh dicontohi oleh remaja lain," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurut Muhammad Aimy Shahril, dia merancang mengembangkan lagi perniagaannya di seluruh negara pada masa akan datang.