Usahawan Terengganu Bina Hubungan Antarabangsa di Singapura

SINGAPURA, 28 Julai - Malaysia Fest 2024 yang berlangsung di Singapore Expo, Changi menjadi platform penting bagi usahawan Terengganu untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah mengunjungi booth usahawan Terengganu di acara tersebut untuk memberikan sokongan dan galakan kepada mereka.

Menurutnya, beliau berpeluang melihat pelbagai produk tempatan yang dipamerkan, termasuk batik dan songket Terengganu yang mencerminkan keindahan dan kekayaan warisan budaya negeri.

“Selain itu, pelbagai makanan tradisional seperti keropok lekor, ketupat palas, sata, dan aneka kuih turut menjadi tarikan utama pengunjung dari Singapura.

“Penyertaan dalam festival seperti ini adalah peluang penting bagi usahawan Terengganu untuk membina hubungan dan jaringan perniagaan dengan usahawan lain dari dalam dan luar negara,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada program berkenaan.

Ariffin berkata, perkara yang penting bagi usahawan-usahawan yang menyertai festival seperti ini adalah mereka dapat membina hubungan sesama usahawan lain, dari dalam negara dan juga luar negara, termasuk Singapura, bagi meluaskan pasaran produk mereka.

“Dengan adanya peluang seperti ini, usahawan Terengganu diharap dapat memperluas rangkaian perniagaan mereka dan mencapai kejayaan di peringkat global.

“Saya menggalakkan masyarakat untuk mengunjungi booth usahawan Terengganu di Malaysia Fest dan merasai sendiri keunikan serta kualiti produk tempatan yang ditawarkan.

“Acara Malaysia Fest 2024 di Singapura bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka tetapi juga membuka ruang bagi pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.

Sekali gus katanya, penambahan jaringan perniagaan antarabangsa. Terengganu terus komited untuk menyokong usaha-usaha ini dan memastikan produk tempatan kita mendapat pengiktirafan di persada dunia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: