Foto Ehsan: Goggle |
Oleh : Syazwana M.Zohir
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Umat Islam dinasihatkan agar tidak meraikan Hari Kekasih (Valentine’s Day) kerana ia adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata demikian setelah merujuk kepada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-71 (22 -24 November 2005).
“Pada 14 Februari setiap tahun, ia sinonim bagi muda-mudi di Malaysia menyambut Hari Kekasih atau lebih dikenali dengan Valentine's Day. Bahkan segelintir masyarakat kita tanpa segan silu menyambut serta memperingati sambutan ini.
“Asimilasi budaya barat ini wajib dihentikan segera oleh masyarakat Islam kerana ia menjerumus kepada pembudayaan maksiat.
" Umum mengetahui bahawa amalan menyambut Valentine's Day di dalamnya menggalakkan budaya bercinta, 'dating' (janji temu), memberi hadiah dan sebagainya”, ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosial ' facebook' beliau baru-baru ini.
Zuraida |
Katanya, lebih menggusarkan apabila Valentine's Day ini boleh mendorong anak muda ke arah perbuatan zina.
"Zina adalah perbuatan yang keji dan buruk dalam Islam. Ia merosakkan kehidupan, keturunan, menjatuhkan maruah serta membuka pintu kemaksiatan dan gejala sosial yang lain," ujarnya lagi.
Menurut Zuraida, agama Islam sama sekali tidak melarang umatnya untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang namun, berkasih sayanglah mengikut tatacara yang telah dianjurkan dalam syariat Islam.
“Semoga kita semua pada hari ini kembali berpegang teguh kepada acuan al-Quran dan as-Sunnah dengan memelihara maruah diri dan menjauhi perkara yang dilarang bagi membentuk masyarakat negara yang sihat rohani dan jasmani.
“Sungguh, bercinta dan berkasih sayang selepas nikah itu jauh lebih indah," ujar beliau.