Velodrom Azizulhasni Dijangka Siap April 2022

KUALA TERENGGANU, 17 November - Velodrom Azizulhasni Awang di Dungun dijangka siap dibina pada April 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses pembinaan projek bernilai RM11.8 juta itu telah mencapai 34 peratus menepati jadual yang ditetapkan.

"Setelah lapan tahun kita menunggu, akhirnya pada tahun lalu kita berjaya memulakan projek ini.

"Projek ini sepatutnya siap pada tahun 2021, tetapi disebabkan halangan pandemik COVID-19, ia terpaksa dilanjutkan ke tarikh berikutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pembinaan projek itu di Dungun, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Hishamudddin Abdul Karim, pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya dan pegawai daerah Dungun, Anuar Awang.

Jelasnya, kewujudan velodrom diharapkan bakal menjadikan Terengganu lebih berupaya melahirkan atlet-atlet seperti Azizulhasni Awang.

"Kita bukannya boleh mengadakan banyak trek seperti ini, alang-alang diwujudkan kita mahu ia bukan sahaja sesuai untuk latihan tetapi juga sesuai untuk diadakan pertandingan pada masa akan datang. 

"Harapan kita semua untuk melihat apabila siap terbinanya, ia bakal menjadi satu pusat yang walau tidak canggih tetapi memenuhi keperluan yang ada untuk sukan berbasikal," katanya.

Tambah Wan Sukairi, pihak kerajaan negeri turut merancang untuk membangunkan trek berbasikal lasak (BMX) di kawasan sama sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai kompleks berbasikal Terengganu pada masa akan datang.

 

 

 


Tag: