'Wakil Kerajaan Disekat, Penceramah Kontroversi UMNO Dialukan'
KUALA TERENGGANU,19 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, membidas tindakan songsang pihak tertentu yang menyekat wakil Kerajaan Negeri merasmikan program pendidikan sebuah Institut Pengajian Tinggi bersama mahasiswa baru-baru ini.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, lebih mendukacitakan ahli politik tidak bertauliah daripada UMNO pula diberi kebebasan bertemu pelajar.
“Bayangkan pemimpin UMNO boleh keluar masuk dengan bebas dalam institusi pendidikan tapi kami pemimpin yang diberikan amanah dan mandat dihalang dengan pelbagai alasan untuk masuk ke sekolah bagi memandaikan anak bangsa.
“Dijemput penceramah UMNO yang kontroversi di media sosial yang tidak tahu sejauh mana kelayakan pendidikannya sebagai pemberi motivasi kepada pelajar, sedangkan ADUN, ada yang bekas guru, ada yang mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang bahkan Batu Buruk yang ada PHD pun dihalang masuk berjumpa pelajar.
“Kami bukannya masuk untuk membawa mesej politik, hanya sekadar menyantuni dan memberikan semangat kepada anak-anak pelajar dibawah amanah dan jagaan kami,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau dengan tegas menyeru agar politik Terengganu menuju ke arah yang lebih matang, sambil mencabar Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan untuk berdebat secara terbuka.
“Saya ingin mencabar Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Harapan, mari kita berdebat dan berdiskusi di hadapan mahasiswa UniSZA atau UMT.
“Sediakan tarikh, dan tajuk, Sura sentiasa bersedia untuk berdebat dan berdiskusi syaratnya hendaklah dibuat dalam kampus UniSZA atau UMT.
“Platform seperti ini amat penting untuk memupuk politik idea, bukannya politik sekat-menyekat yang dianggap ketinggalan zaman,” katanya.
Menurut ADUN Sura itu, Belanjawan Terengganu 2024 harus menjadi peluang untuk memperkukuh pendidikan dan membangun negeri dengan politik kerjasama, bukan sebaliknya.
“Politik baru ialah politik matang dan sejahtera, bukan politik zaman dulu yang menyekat kemajuan,”
“Perbezaan politik antara negeri dan persekutuan tidak sepatutnya menghalang usaha bersama untuk mendidik generasi muda,” ujarnya.
Cabaran debat terbuka itu kini menanti respons daripada pihak lawan, sebagai langkah pertama menuju politik berwibawa yang diidamkan oleh generasi muda negeri Terengganu.