Wanita Diabaikan Suami Perlu Dekatkan Diri KepadaNya



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 31 Mac- Golongan wanita yang diabaikan suami dan terpaksa mengurus keluarga bersendirian ditambah pula menghidap penyakit kronik dinasihatkan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

Ahli Jawatankuasa Khairunnisa’, Rugayah Mahmood berkata, Allah sedia mendengar rintihan hambaNya terutama di satu pertiga malam dan akan membantu dengan memberi kekuatan hati dan perasaan.

Rugayah berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib golongan ini dimana bilangan wanita diabaikan suami semakin bertambah setiap hari.

"Kita memang tidak boleh hendak mengadu kepada suami walaupun mereka sepatutnya tempat bergantung hidup kerana mereka ini sudah lupa tanggungjawab dan kebanyakkannya panas baran dan tidak boleh ditegur.

"Mengadulah kepada Allah, banyakkan berdoa, tunaikan mengikut waktunya dan jangan sesekali tinggalkan solat,” ujarnya.


Rugayah yang juga Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata demikian kepada pemberita selepas menemani suaminya menziarahi penduduk di Kampung Serdang, baru-baru ini.

Katanya, beliau kesal dengan sikap para suami yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan isteri dan anak-anak menjadi mangsa.

"Isteri yang sakit pula terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga, beratnya bebanan yang ditanggung golongan wanita ini sedangkan itu adalah tugas seorang lelaki bergelar suami," ujarnya.

Dalam program rutin ziarah ADUN Rantau Abang itu,sebanyak empat buah rumah telah dipilih untuk dikunjungi, di samping turut menyampai sumbangan barangan dapur dan sedikit wang sebagai meringankan beban keluarga memerlukan.

Tag: