Warga Emas Syukur Kerajaan Terengganu Pulangkan Hak

BESUT, 6 Oktober - Warga emas, Mohd Noor Awang, 72, bersyukur kerana kerajaan negeri memulangkan semula hak tanah kepada rakyat yang telah berhabis wang membayar premium tanah pada 20 tahun lalu.

Mohd Noor berkata, walaupun kecewa kerana terpaksa menunggu lama, dia tetap terharu atas usaha kerajaan Terengganu sekarang.

 "Walaupun saya kecewa setelah menghabiskan wang yang banyak pada sebelum ini, namun saya sangat berterima kasih kepada kerajaan PAS, apabila kembali memerintah mereka memulangkan semula hak rakyat," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Zaiton Ibrahim, 52, dia juga terkejut dan teruja apabila dipanggil untuk ke majlis penyerahan geran itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur tidak terhingga kepada Allah kerana selama penantian ini dikembalikan semula geran tanah tersebut," katanya yang sudah menetap sejak tahun 1985 di Kampung Paroh Tapong.

Menurut Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, seramai 44 orang pemohon RTB dalam DUN Jerteh menerima geran tanah.

Mereka adalah antara 373 peserta yang dikembalikan semula hak mereka setelah 20 tahun penantian.

"Ini adalah program yang pertama kali diadakan bagi DUN Jerteh. Manakala baki selebihnya akan diselesaikan secara berperingkat dengan segera," ujarnya.

Tambah beliau, walaupun terdapat kekangan terhadap tapak cadangan RTB yang lalu, pihaknya sentiasa berusaha untuk menggantikan tapak cadangan yang baru.

"Kami memohon maaf atas kelewatan mengagihkan geran tanah ini kerana faktor hak pemilikan tanah yang dicadangkan dahulu (1999-2004) telah pun ditukar statusnya selepas PAS Terengganu tewas pada PRU 2004.

"Walau bagaimanapun, kita akan berusaha untuk mencari ganti tempat yang lain untuk mereka. Termasuk 19 permohonan yang telah meninggal dunia, akan diberikan kepada ahli keluarga arwah dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berwajib." katanya.