Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (WARISAN) Terengganu melancarkan sebuah van bersama pemandu melalui program Van Jenazah Warisan Terengganu bagi kegunaan para asnaf di negeri itu khususnya di Kuala Terengganu.
Pengerusinya, Che Mohd Ibrahim Che Ghani (Ayah Mat Marang) menjelaskan bahawa perkhidmatan van jenazah secara percuma itu dilakukan bagi meringankan beban fakir miskin terutamanya dalam menguruskan kematian ahli keluarga.
"Kami mengambil pendekatan ini untuk sama-sama membantu fakir miskin bagi meringankan beban kesedihan mereka jika ada kematian ahli keluarga.
"Insya-Allah, ini adalah permulaan di Kuala Terengganu dan akan perluaskan hingga ke seluruh negeri ini pada masa akan datang. Sehubungan itu, kami juga melancarkan tabung derma bagi mencari dana agar cita-cita murni ini dapat dijayakan bersama masyarakat," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pelancaran program itu, semalam.
Sebuah tabung dana bagi program itu turut dilancarkan bersama dalam majlis yang berlangsung di Pasarnita itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed ketika merasmikan majlis tersebut menyeru mana-mana pihak khasnya badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil sama-sama membantu warga komuniti dalam skala yang termampu.
"Kita hidup bermasyarakat dan keharmonian masyarakat hanya akan wujud apabila kita sama ada dari pihak kerajaan mahu pun siapa sahaja tampil melaksanakan tanggungjawab sosial, bantu-membantu sesama kita sekadar yang mampu.
"Tularkan usaha ini seluasnya, biar orang ramai tahu. Masyarakat kita ramai yang pemurah, tapi mereka kurang pendedahan info-info gerak kerja badan-badan kebajikan. Semoga Allah SWT permudahkan usaha murni ini insya-Allah," katanya.
Majlis perasmian yang diadakan secara santai di ruang legar Pasarnita, Tanjung malam tadi turut dihadiri oleh para pimpinan serta penggerak WARISAN Terengganu.
Ahmad Shah Muhamed yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar juga menaruh harapan agar usaha tersebut mendapat perhatian natizen untuk turut menghulurkan sumbangan.
Bagi mendapatkan perkhidmatan Van Jenazah Warisan Terengganu, masyarakat boleh menghubungi pertubuhan terbabit melalui talian 24 jam WARISAN iaitu 016-9860433 ataupun dengan cara melayari laman Facebook NGO Warisan Terengganu.