SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
MARANG, 16 Julai - Pembinaan replika wau bulan gergasi yang berukuran 21 meter lebar dan 24 meter tinggi mengambarkan semangat rakyat khususnya golongan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong untuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata beliau sendiri secara peribadi tersentuh dengan kesungguhan masyarakat yang berusaha menyiapkan replika itu dalam masa dua minggu.
"Sayu hati melihat kesungguhan kesemua mereka yang terlibat khususnya anak muda dengan duit dan tenaga mereka sendiri bersungguh-sungguh menyiapkan wau yang sangat besar mengambarkan mahu PAS terus memerintah Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui video ucapan pendek di facebook rasminya, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata, besar harapannya agar semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat serta anak muda berkenaan akan mengamit kepulangan anak-anak perantau untuk turut bersemangat menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Ambil semangat orang kampung untuk anak-anak muda dan pengundi di perantauan agar pulang menunaikan tanggungjawab, balik bertemu keluarga juga bertemu dengan anak-anak muda yang ada di kampung untuk turut bersama membangkitkan semangat 'raya' yang hanya berlangsung lima tahun sekali," ujarnya.
Katanya, dengan adanya replika wau gergasi berkenaan tempat tersebut akan menjadi tumpuan serta dikunjungi ramai untuk diabadikan kenangan dengan bergambar sepanjang PRN ini.