• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

Yayasan Terengganu Perkukuh Hubungan Dengan IPTA

Mohd Zubir menyampaikan anugerah Quranik kepada pelajar cemerlang  Muaz Mohd Radzi. Foto Zulkifli C W Putra 

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) memperkukuhkan hubungan dengan beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan dan luar negara bagi memastikan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti itu

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata antaranya IPTA berkenaan termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaya dan  Universiti Sains Islam Malaysia

Katanya, kecemerlangan pelajar Imtiaz sememangnya diakui dan diberi pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains, kejuruteraan, perubatan, keusahawanan dan al-Quran.


“Bagi melahirkan ulama masa depan yang berpengetahuan tinggi, luas dalam ilmu duniawi dan ukhrawi pula, kerajaan turut memperkenalkan Program Pengajian al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab. 

“Program ini telah bermula sejak Januari 2016 dan kini mempunyai seramai 100 pelajar yang sedang menjalani program  selama dua tahun di SMIYT Besut. Bagi pelajar yang berjaya akan meneruskan pengajian peringkat asasi sains sehinggalah peringkat ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong pada Majlis Graduan dan Anugerah Hafazan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.


Seramai 364 pelajar cemerlang, termasuk 310 hafiz dan hafizah  yang akan menamatkan pengajian di SMIYT dirai dalam majlis itu.

Menurutnya, pada masa sama, kerajaan negeri turut memperkenalkan program Saintis Islam bertujuan melahirkan golongan Saintis Islam yang hafiz 30 juzuk al-Quran.


“Selain mampu mendalami ilmu-ilmu islam dalam  penerokaan bidang aero angkasa, perubatan dan kejuruteraan sebagai perintis kepada lahirnya Saintis Islam terulung bertaraf dunia.

“Kini seramai dua orang pelajar telah terpilih melanjutkan pengajian dengan diberi penajaan biasiswa sepenuhnya bermula di peringkat Ijazah hingga Phd dan tamat pengajian seterusnya berkhidmat di Terengganu,”katanya.



Tag: