YPU Laksana Program ‘Terokai Pasaran Pasaraya’

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu mengadakan program suaian perniagaan dengan pasar raya dan hipermarket tempatan yang dikenali sebagai “Terokai Pasaran Pasaraya” (T2P) bermula bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tengku Khairi A. Rahman berkata, YPU mengambil inisiatif mengadakan program yang akan diadakan setiap bulan di Pusat Dagangan Terengganu itu lanjutan daripada isu kesukaran usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk mereka kepada pasar raya atau hipermarket.

“Program T2P bertujuan membantu produk yang berpotensi untuk dipromosi dan dipasarkan melalui pasar raya dan hipermarket di dalam negeri ini mahupun luar Terengganu.

“Program ini turut membantu meningkatkan peratus Stock Keeping Unit (SKU) produk PKS di dalam pasar raya tempatan selaras dengan garis panduan penyertaan asing dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, antara objektif lain program T2P adalah untuk membuka peluang pasaran kepada produk-produk PKS untuk disenarai tetap di pasar raya.

“Selain, mewujudkan kerjasama di antara pasar raya dan pengusaha PKS melalui program yang menemukan kedua-dua pihak dalam persekitaran perbincangan perniagaan serta memperkenalkan dan mengetengahkan produk usahawan PKS yang baru dan berpotensi tinggi untuk maju,” ujarnya.

Menurut Tengku Khairi, produk-produk PKS dibantu untuk mampu bersaing dengan produk keluaran syarikat asing yang telah memasuki pasaran pasar raya tempatan dan asing di dalam negara.

“Selain itu, ia juga akan meningkatkan daya saing usahawan PKS untuk mengendali dan merancang proses pengeluaran produk bagi memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar,” ujarnya.

Katanya, sebagai permulaan YPU akan mengadakan program suaian perniagaan T2P pada 25 Julai ini dengan sasaran penyertaan seramai 80 orang usahawan.

Tambah Tengku Khairi, menjelang akhir tahun 2017, YPU mensasarkan sejumlah 40 usahawan PKS tempatan dengan jumlah 130 SKU PKS akan berjaya dipasarkan ke pasar raya dan hipermarket menerusi pelaksanaan program suaian perniagaan T2P pada tahun ini.

Tag: