lightning-solid
Berita :
YTNZ Perkenal Gold Bar Motif Bunga Songket
YTNZ Perkenal Gold Bar Motif Bunga Songket
Noraini Jusoh
20 Nov 25
180

KUALA TERENGGANU, 20 November - Dengan semangat untuk memelihara dan memperkasakan warisan budaya Melayu yang tak ternilai, Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) dengan penuh rasa bangga telah melancarkan koleksi terbaharu Gold Bar Edisi Khas yang diilhamkan daripada keindahan motif bunga songket. 

Majlis pelancaran yang penuh bersejarah telah disempurnakan oleh Pengerusi YTNZ, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan disaksikan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato' Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Azzahra, Istana Sharqiyyah, semalam.

Turut hadir,  Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTNZ, Dato' To' Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zain. 

IMG-20251120-WA0045.jpg 117.03 KB

YTNZ dalam satu kenyataan berkata, koleksi eksklusif berkenaan bukan sekadar simpanan berharga, tetapi sebuah mahakarya yang menjadikan warisan tradisi sebagai sesuatu yang hidup, relevan dan boleh dipegang oleh generasi masa kini.

"Koleksi julung kali ini adalah jelmaan kasih sayang kami terhadap warisan bangsa. Setiap motif bunga yang ditempa pada emas ini membawa falsafah dan nilaian murni yang menjadi teras kehidupan kita. Ia adalah cara kita untuk bercerita, cara kita untuk memastikan anak cucu kita tidak lupa akan akar budayanya yang kaya dan penuh makna," ujar kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan, koleksi terbaharu Gold Bar Edisi Khas itu menampilkan tiga motif bunga songket yang penuh makna dimana setiap satunya membawa kisah dan harapan tersendiri.

"Bunga Teratai, sebagai simbol ketenangan dan kesucian jiwa. Bunga Tampuk Manggis, yang mewakili kesucian hati, keluhuran budi dan kejernihan nurani. Dan Bunga Pitis, melambangkan limpahan kekayaan, kemakmuran dan tuah yang berpanjangan," katanya.

Ujar kenyataan tersebut, setiap kepingan gold bar seberat 1 gram dengan ketulenan emas 999.9 adalah istimewa. 

"Di bahagian hadapan terpampang logo YTNZ manakala di belakangnya, motif-motif indah ini ditempa dengan sempurna. Sebagai bukti keaslian dan eksklusifnya, setiap unit dilengkapi dengan nombor siri khas. 

"Yang lebih menarik, setiap pembelian didatangkan dengan tiga keping kad eksklusif yang memaparkan corak motif bunga beserta deskripsinya, menjadikannya satu set pendidikan dan koleksi yang lengkap," jelasnya.

Tambah kenyataan tersebut, koleksi edisi terhad ini hasil kerjasama dengan MAIDAM Property Sdn. Bhd. sebagai pembekal dan pengedar utama telah mula diterima dengan meriah oleh orang ramai. 

"Harga jualan bagi setiap keping telah ditetapkan pada RM650.

"Orang ramai yang berminat untuk memilikinya bolehlah membuat tempahan secara dalam talian melalui sistem MAIDAM Property di www.maidamproperty.com atau membelinya secara terus di semua cawangan Ar-Rahnu MAIDAM di seluruh Negeri Terengganu," jelasnya.




Tag :

Artikel Berkaitan