Zetty Roses Bakal Terokai Industri Pati Minyak Wangi

HULU TERENGGANU, 14 Mac-Perusahaan berasaskan bunga ros sememangnya mendatangkan pulangan lumayan, ditambah pula minyak yang dihasilkannya antara paling bernilai dengan setiap milimeter boleh mencecah ribuan ringgit. 

Dek keharuman pati minyak ros, ramai pengusaha minyak wangi berjenama di dunia  sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi mendapatkan bahan mentah utama kepada produk keluaran mereka.

Melihat potensi pasaran yang tinggi di luar negara itu, Dr Sh Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad, 43, pemilik Zety Roses yang merupakan satu-satunya taman ros terbesar tanah rendah di Malaysia mula menerokai bidang tersebut.

Katanya, industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia.

"Terlintas di fikiran saya untuk menghasilkan sendiri pati bunga yang bermutu tinggi sekaligus menjadi pembekal utama di Malaysia. Pada masa yang sama saya membuat beberapa penyelidikan tentangnya di internet.

"Saya kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan tersebut dengan sokongan suami, Engku Hassan Engku Wok Zin dan impian kami ingin menjadikan Zety Roses salah satu pengeluar  terbaik di Malaysia dan dunia.

“Untuk permulaan sebanyak 1,000 mawar kampung (rose damask) akan ditanam di sebahagian tanah di belakang Laman Ros yang mana hasilnya( pati bunga)akan diperolehi akhir tahun ini,” ujar ibu kepada lima anak ini.

Beliau berkata, industri berkenaan mempunyai potensi yang luas memandangkan ia kurang diceburi di negara ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu yang terkenal dalam pembuatan minyak wangi di Asia Barat.

”Secara praktikalnya, semua wangian mahal di seluruh dunia mengandungi minyak ros.

“Jadi tidak hairan jika harganya mencecah ribuan ringgit untuk satu botol kecil minyak mawar. Minyak mawar digunakan untuk menghasilkan pelbagai perfum berasaskan bunga ros,”ujarnya.

Menurut bekas Pensyarah Kaunseling dan Psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), jenis bunga mawar yang sering digunakan untuk minyak pati adalah daripada jenis rose damask. Minyak pati ini sesuai sekali untuk tujuan pembuatan minyak wangi

Bergelar pengumpul ros sejak sembilan tahun lalu, dia mengakui begitu obses mengumpul ros daripada pelbagai baka dan identiti kerana bunga berkenaan sarat dengan nilai keindahan semula jadi.

Laman ros di hadapan rumahnya menjadi tumpuan penggemar bunga itu setiap hujung minggu, baik yang mahu melawat untuk berterapi, atau memborong benih untuk ditanam di rumah sendiri atau dijual semula.

"Sejak berkecimpung secara serius dalam penanaman bunga ini kira-kira sembilan tahun lalu, saya mempunyai ribuan peminat ros termasuk wakil penjual dari seluruh negara yang sebahagiannya aktif menjalankan perniagaan menjual bungaan ini pada rakan dan jiran di tempat masing-masing.

"Kebiasaannya pada cuti sekolah, rumah saya dipenuhi rombongan Rosarian iaitu peminat ros dari sekitar dan luar Terengganu. Saya bangga kerana secara tidak langsung membantu orang lain menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka, selain memberi satu terapi kepada mereka," katanya.

Pernah kerugian puluhan ribu ringgit tapi jiwanya kental, dugaan dalam perniagaan menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya menjadi usahawan berjaya.

Keringat dan air mata sudah puas dicurahkan tapi nyata berbaloi untuk Dr Zetty selepas usahanya dalam projek Laman Ros seluas 1.6 hektar membuahkan hasil lumayan.

 Tambahnya lagi, beliau kini komited untuk mencapai visi mereka iaitu  Zety Roses akan menjadi pusat yang menyediakan perkhidmatan pelbagai berasaskan ros untuk kelestarian alam sejagat demi penjanaan ekonomi ummah menjelang 2023.