KUALA TERENGGANU, 11 November — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar Jalan Pasir Panjang di Kuala Terengganu dijadikan sebagai destinasi pelancongan kulinari baharu, berteraskan menu ikonik negeri iaitu nasi lemak, bagi merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan setempat.
Menurut beliau, kawasan Jalan Pasir Panjang mempunyai potensi besar sebagai tarikan makanan tempatan, kerana sudah sekian lama terkenal dengan deretan gerai nasi lemak yang menjadi pilihan warga tempatan dan pelancong.
“Jika Kampung Atas Tol terkenal dengan nasi dagangnya, maka Jalan Pasir Panjang pula wajar dikenali dengan nasi lemak warisan yang berpuluh tahun bertapak di sini seperti Nasi Lemak Dah Sunik, Nasi Lemak Bawah Rumah (Womoh), Nasi Lemak Kukus Kak Dah CD, Nasi Lemak Awang dan banyak lagi,” katanya semasa membahaskan isu pembangunan ekonomi dan pelancongan di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Beliau mencadangkan agar nasi lemak Jalan Pasir Panjang dijenamakan secara rasmi sebagai produk pelancongan makanan negeri Terengganu, sama seperti Nasi Lemak Antarabangsa yang sinonim dengan Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Antara langkah yang dicadangkan ialah, penjenamaan rasmi dengan nama seperti “Nasi Lemak Pasir Panjang: Terengganu Food Heaven”, lengkap dengan logo, peta lokasi dan papan tanda.
Zon Makanan Rasmi, mewujudkan kawasan kulinari dengan kemudahan laluan pejalan kaki, tempat letak kenderaan dan infrastruktur mesra pengunjung.
Penganjuran Festival Nasi Lemak Tahunan bagi menarik minat pelancong serta mempromosikan produk tempatan dengan kerjasama media dan ‘food influencer’ dan pakej Pelancongan Bandar menggabungkan lawatan ke Jalan Pasir Panjang bersama destinasi warisan dan pantai.
Beliau menegaskan, inisiatif ini bukan sahaja dapat memberi nafas baharu kepada peniaga kecil, tetapi juga memperkayakan pengalaman pelancong yang datang ke negeri ini.
“Saya memohon pertimbangan dan sokongan dewan untuk menjadikan cadangan ini sebagai projek perintis berpaksikan komuniti yang menggabungkan warisan rasa, ekonomi rakyat dan daya tarikan pelancongan negeri,” katanya.