KUALA NERUS, 23 September - Pelumba kelahiran Dungun, Ahmad Afif Amran membuktikan aura halaman sendiri apabila mengungguli kategori CP150 pada perlumbaan Pusingan Ke-7 PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023.
Dalam perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu itu, Afif memintas pendahulu yang juga rakan sepasukannya dari Petronas Sprinta Yamaha- CKJ Racing, Md Akid Aziz pada pusingan terakhir untuk muncul juara denga perbezaan masa 0.764 saat.
"Rezeki saya menang hari ini, semangat tempat sendiri itu luar biasa.
"Sebenarnya, sudah lama saya tidak menang di sini, kali terakhir menang pada 2018," katany ketika ditemui selepas perlumbaan, hari ini.
Tambahnya, pada permulaan perlumbaan, beliau fokus mengekori rapat pendahulu dan mencari peluang untuk memintas.
"Perlumbaan tadi, Akid mula langkah lebih cepat dari saya.
"Rakan sepasukan memang kuat race pace, jadi saya cuba ikut dan mencari ruang untuk mencelah tetapi dia tidak melakukan kesilapan.
"Pada tiga pusingan terakhir, 'laps time' Akid agak menurun dan saya ambil kesempatan untuk memintasnya pada pusingan terakhir," ceritanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu menyifatkan, kemenangan kali ini merupakan tonik terbaik untuk mencabar kejuaraan PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023.
Beliau kini menduduki kedudukan kedua keseluruhan dengan 114 mata, tujuh mata dibelakang Akid dengan baki tiga pusingan perlumbaan.