Larangan 'Busking' Ekoran Rungutan Rakyat, Kerajaan Bantu Buskers
100 Anak Yatim Terima Sumbangan Kasih Sempena Ramadan
HULU TERENGGANU, 20 Mac – Dalam menyemarakkan keberkatan akhir Ramadan dan syawal yang bakal tiba, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir melaksanakan amanah menyantuni 100 anak yatim melalui program agihan 'Sumbangan Kasih'.
ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, menyantuni anak yatim adalah amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam.
"Memberi kegembiraan kepada anak yatim adalah amalan yang sangat besar pahalanya. Semoga sumbangan ini mampu mengukir senyuman di wajah mereka dan memberi keceriaan dalam menyambut Aidilfitri," ujar beliau ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut di Dewan Al-Kawthar Kubang Lembek, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut mengajak masyarakat agar sentiasa mengambil peluang untuk berbuat kebaikan, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh berkat ini.
Majlis yang diadakan dengan penuh sederhana namun bermakna itu menyaksikan anak-anak yatim menerima sumbangan berupa keperluan asas dan duit raya sebagai persiapan keluarga mereka menyambut Aidilfitri.
Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan bergambar serta jamuan berbuka puasa bersama, simbolik kepada jalinan ukhuwah yang terjalin antara masyarakat dan anak-anak bertuah itu.
"Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemai kasih sayang, keprihatinan, dan empati terhadap golongan yang memerlukan, seiring dengan tuntutan Islam untuk memelihara dan menyantuni anak yatim," ujarnya.