140 Golongan Asnaf Kampung Tengah Terima Agihan Zakat

BESUT, 19 MARCH 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Azbi Salleh yang juga  pemilik Kedai Emas Sri Ayu, telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat kepada 140 golongan asnaf dalam satu majlis yang diadakan di Surau Al-Amin, Kampung Tengah.

Menurut beliau, agihan zakat ini melibatkan tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terdiri daripada Kampung Tengah, Kampung Pantai, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Bayu, Kampung Pekan Lama, Kampung Pekan Baru, dan Kampung Nail.

 Azbi berkata, zakat merupakan platform yang tepat untuk membantu golongan yang memerlukan sebagaimana yang dituntut di dalam ajaran Islam, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Zakat adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberikan sedikit kegembiraan dalam menyambut bulan yang mulia ini,” ujarnya ketika ditemui.

Setiap penerima zakat menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat digunakan untuk mendapatkan keperluan harian dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Penerima sumbangan, terdiri daripada kalangan ibu tunggal dan keluarga yang terjejas serta mereka yang tergolong sebagai golongan asnaf.

"Majlis ini juga disertai oleh Pengerusi-Pengerusi dari JPPK yang terlibat, yang turut membantu dalam proses pengagihan zakat,"ujarnya.


Tag: