228 Calon SPM DUN Rantau Abang Sertai Tuisyen Rakyat

DUNGUN, 24 Januari - Seramai 228 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dalam Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang menyertai Tuisyen Rakyat sebagai persiapan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan awal Februari nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata SPM adalah ujian penting bagi seseorang pelajar untuk menentukan pencapaian dalam akademik dan arah tuju masa depan. 

"Tentunya peperiksaan adalah fasa penting dalam kehidupan selepas seseorang pelajar bertahun-tahun menghabiskan masa di sekolah untuk menimba ilmu dan pergaulan sosial bersama rakan sebaya serta guru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas ketika meninjau perjalanan Program Tuisyen Rakyat peringkat DUN berkenaan yang diadakan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu, 20 dan 21 Januari lalu. 

Program ini diadakan di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Pulau SERAI, SMK Tengku Intan Zaharah serta SMK Padang Pulut dan membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik yang dikendalikan oleh guru-guru pakar. 

Alias turut berharap program pecutan akhir persediaan SPM itu digunakan sebaiknya dan digunakan sebagai nilai tambah untuk menjawab soalan peperiksaan nanti.

"Buatlah bersungguh-sungguh dan tanamkan azam nak hadiahkan kejayaan SPM untuk ibubapa dan guru-guru sebagai memberikan kegembiraan buat mereka yang selama ini banyak berkorban untuk anak-anak semua," katanya sambil mendoakan  kejayaan sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. 


Tag: