KUALA TERENGGANU, 4 November - Lebih 25,000 penyokong pasukan Terengganu FC mengangkat ribuan bendera Palestin serta kain rentang bagi mempamerkan solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu oleh rakyat mereka.
Dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam, bendera Palestin dikibarkan sewaktu lagu Negaraku dinyanyikan.
Pihak Terengganu FC Sdn Bhd, (TFCSB) menyatakan, usaha tersebut merupakan simbolik kepada situasi yang berlaku di Palestin atas dasr kemanusiaan dan keamanan sejagat.
Selain itu, TFCSB dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) turut mengadakan kutipan derma buat Palestin dengan menyediakan tabung di pintu-pintu masuk stadium.
Tidak lupa juga, pihak stadium menyediakan 12 ruang solat di kawasan tempat duduk terbuka sebagai tambahan surau yang terdapat di luar stadium dalam memastikan rakyat negeri itu tidak mengabaikan kewajipan solat sepanjang perlawanan.
Pada perlawanan itu, Terengganu FC mara ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan KL City FC dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan berganda penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut.