30 Unjam Dilabuhkan Di Pesisiran Pantai Kijal

KEMAMAN, 18 Ogos - Sebanyak 30 unit unjam telah dilabuhkan bersama pemberat di pesisiran Pantai Kijal bagi memperkayakan sumber laut di kawasan zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda tersebut.

Hasil tangkapan nelayan yang agak berkurangan sejak kebelakangan ini terutama bagi nelayan di Kampung Penunjuk Kijal mencetuskan usaha kerajaan negeri melabuhkan unjam di kawasan yang dikenal pasti.

Ianya dapat berjalan lancar dengan usaha sama di antara Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kemaman, Persatuan Nelayan Kijal dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemaman.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh mengharapkan usaha itu dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan para nelayan.

"Dengan usaha yang dilakukan ini kita mengharapkan ianya dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan para nelayan di Kijal ini.

"Seterusnya menambah pendapatan harian mereka dan mengembangkan sosial ekonomi masyarakat di tepi pantai ini," ujarnya kepada pemberita pada sesi gimik penyerahan unjam dan doa selamat program tersebut di Pantai Penunjuk Kijal, baru-baru ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Penyelia PKM Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam mewakili Ahli Parlimen Kemaman, Pengurus Persatuan Nelayan Kijal, Mohd Suhardi Jusoh dan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zabidin Awang.

Sebanyak lapan buah bot fiber dan tiga buah bot kayu kelas A digunakan bagi melabuhkan unjam sejauh tiga batu nautika dari Pantai Penunjuk Kijal.