KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Seramai 40 peniaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima manfaat Skim Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025 pada majlis penyerahan yang diadakan semalam di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program tersebut merupakan antara komitmen berterusan Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu rakyat, khususnya di peringkat daerah dan DUN Wakaf Mempelam, bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
“Saya sangat gembira hari ini kerana majoriti penerima Dana Usahawan Terengganu ini terdiri daripada golongan muda, sama ada lelaki mahupun wanita. Inilah yang kita mahu, khususnya di DUN Wakaf Mempelam, iaitu rakyat berusaha mengeluarkan diri daripada keadaan sedia ada kepada kehidupan yang lebih baik dengan memanfaatkan segala kelebihan yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.

Tambahnya lagi, Islam turut menggalakkan umatnya untuk bekerja keras dan menghargai rezeki yang diperoleh melalui usaha serta titik peluh sendiri, sebagaimana yang diteladani oleh Nabi Muhammad SAW.
“Rezeki yang paling bermanfaat dan berkat ialah rezeki yang lahir daripada usaha, keringat dan kerja keras kita sendiri. Justeru itu, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperuntukkan dana ini bagi membantu usahawan yang baharu memulakan perniagaan atau yang masih berada di peringkat sederhana untuk terus mengembangkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, bantuan yang disalurkan bukan sahaja berbentuk modal kewangan, malah turut merangkumi bantuan barangan dan peralatan bagi meningkatkan hasil serta keupayaan perniagaan penerima pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Wan Sukairi turut mengingatkan para usahawan agar memanfaatkan kemudahan teknologi dan media sosial sebagai platform pemasaran yang berkesan.
“Dalam dunia yang semakin canggih hari ini, promosi perniagaan menjadi lebih mudah melalui telefon dan media sosial. Ramai usahawan kini berniaga secara dalam talian dari rumah tanpa perlu menanggung kos sewaan kedai, namun mampu menjana pendapatan ribuan malah puluhan ribu ringgit,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga kualiti produk dan perkhidmatan serta memberikan layanan terbaik kepada pelanggan bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan perniagaan.
Sementara itu, salah seorang penerima DUTE, Amir Faiq Mohd Yusof merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas bantuan yang disalurkan, khususnya dalam menyokong golongan anak muda menceburi bidang keusahawanan.
Beliau yang bakal membuka kedai Bucu Coffee pada 1 Februari ini di Kampung Kuala Bekah berkata, bantuan tersebut amat bermakna dan disifatkan sebagai suntikan penting yang meringankan beban kewangan beliau dalam membuat persiapan awal perniagaan.
“Saya rasa semua penerima hari ini amat gembira. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atas bantuan yang diberikan, yang amat bermakna dan banyak membantu kami dalam memulakan perniagaan,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta bagi pelaksanaan program DUTE di seluruh negeri, dengan agihan RM50,000 bagi setiap DUN.
Inisiatif ini bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan baharu atau menambah baik perniagaan sedia ada.